Khamis, 26 Ogos 2010

NO CF....

Harakahdaily


KUALA TERENGGANU, 27 Ogos: Kilang syarikat Top IT Sdn Bhd, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang didakwa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai pengeluar komputer bimbit untuk pelajar, E-Book, mula menunjukkan petanda akan runtuh.



Beberapa rekahan dan keretakan mula kelihatan pada bangunan tersebut dan kini seolah-olah menunggu masa untuk menyembah bumi.



Ahli Dewan Undangan Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, kerajaan negeri Terengganu diminta memberi perhatian kepada laporan kerosakkan bangunan kilang tersebut.



Beliau berkata demikian dalam satu sidang media dihadapan kilang tersebut, di Gong Badak semalam.



Gambar: Dr Syed menunjukkan garisan hitam pada bangunan kilang Top IT yang merupakan retakan dan rekahan.



Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berkata beliau telah dihubungi oleh para pekerja syarikat tersebut yang melahirkan rasa bimbang dan rasa tidak selamat atas kerosakkan yang berlaku.



"Saya telah mendapat dua dokumen penting yang diberi kepada saya, yang pertamanya tentang pengauditan pengurusan Top IT Industries, yang kedua gambar-gambar mengenai kerosakan-kerosakan yang disebut sebagai kerosakan kekal yang ada di kilang Top IT," katanya seperti dilapor BuletinOnline.



Menurutnya, apa yang menyedihkan, kilang yang didakwanya bernilai lebih daripada RM12 itu, sehingga kini tidak memiliki sijil menduduki (CF).



Oleh itu katanya, kilang tersebut beroperasi dalam keadaan yang amat merbahaya kepada pekerja-pekerja seramai 67 orang.



"Pekerja yang ada di sini yang membuat pengaduan secara rahsia kepada kami tentang bahaya mereka bekerja di sini, kerana berlaku keretakan-keretakan yang boleh kita nampak jelas,"katanya



Garis-garis yang dicat dengan warna hitam pada dinding premis bangunan kilang berkenaan katanya adalah retakan-retakan yang kekal yang cuba ditutup.



Pihak Jabatan Audit negeri Terengganu juga jelasnya telahpun melakukan pemeriksaan terhadap kilang itu.



"Jadi mereka amat bimbang dengan apa yang ada sekarang ini dan kalau hujan, kalau ada ribut dan sebagainya berlaku kebocoran air masuk kedalam (kilang) dan atap kilang ini juga bergoyang bila ada hujan dan ribut.



"Ia menimbulkan kebimbangan kepada mereka sekiranya berlaku keruntuhan kepada bangunan ini," katanya lagi.



Justeru, bertepatan dengan laporan yang diperolehinya, beliau menyarankan supaya suatu pemeriksaan rapi dibuat kembali kepada premis tersebut.



"Kerajaan negeri perlu bertindak segera untuk membuat pemeriksaan rapi dan kita mengharapkan mereka merujuk kembali kepada laporan audit yang telah dibuat, (dimana) laporan audit tersebut menyatakan bangunan premis kilang belum mendapat Akuan Kelayakan Menduduk Bangunan,"tegasnya.



Menurutnya selain tidak memenuhi kriteria keselamatan yang ditetapkan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat, penemuan audit juga menyatakan pelan bangunan turut tidak diluluskan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan