Khamis, 26 Ogos 2010

Duit Raya ...

SUNGAI PETANI, 27 Ogos: Ketika para wakil rakyat sibuk memenuhi agenda yang telah disusun-atur sepanjang Ramadhan kali ini, Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat Kedah (Pikat) juga tidak mahu ketinggalan dengan aktiviti kemasyarakatan mereka sempena bulan yang mulia ini.




Pikat pada tahun ini mengambil inisiatif dengan mengunjungi pesakit-pesakit yang terlantar di hospital untuk menghulurkan bungkusan kuih dan duit raya bagi menceriakan sambutan hari raya mereka nanti.



Sehubungan itu, Pengerusi Pikat, Toh Puan Faekah Sheikh Hamzah bersama ahli-ahlinya yang lain telah berkunjung ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, pagi semalam untuk menyampaikan sumbangan hari raya kepada 300 pesakit yang terlantar di situ.



Mereka ditemani Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri, Haji Yahaya Abdullah dan Adun Pantai Merdeka, Haji Abdullah Jusoh.



Rombongan tersebut diringi petugas-petugas hospital untuk menemui kesemua pesakit yang dirawat di situ.



Keceriaan jelas tergambar di wajah-wajah pesakit yang dikunjungi apabila menerima sumbangan dari Pikat yang perihatin terhadap penderitaan mereka.



HSAH adalah destinasi kedua Pikat selepas Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk tujuan yang sama pada 24 Ogos yang lalu.



Pada minggu hadapan, Pikat dijadualkan ke Hospital Daerah Baling untuk menghulurkan sumbangan kepada pesakit-pesakit di sana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan