Isnin, 27 September 2010

Setinggan dapat Rumah ....

KUALA LUMPUR, 27 Sept: 51 keluarga setinggan yang tinggal di bawah talian elektrik bervoltan tinggi TNB di Pandan Jaya akan diserahkan surat tawaran untuk membeli rumah kos rendah di Taman Harmoni, Kajang esok.

Mereka adalah sebahagian dari 193 keluarga di penempatan setinggan itu yang telah wujud lebih 20 tahun.

Penawaran rumah kos rendah ini merupakan satu usaha untuk menyelesaikan masalah setinggan di Pandan Jaya, kata Exco kerajaan negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Kerajaan negeri, katanya, akan menawarkan rumah kos rendah kepada penduduk secara berperingkat-peringkat untuk dibeli oleh mereka.

"Akhirnya kesemua penduduk akan ditawarkan untuk membeli rumah kos rendah dan kawasan di bawah talian itu akan dipagar supaya tidak berlaku sebarang pencerobohan," katanya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Selangor.

Katanya, terdapat juga cadangan agar kawasan itu dijadikan kawasan tapak semaian atau setor Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Walau bagaimanapun, buat masa ini rumah-rumah 51 keluarga yang akan menerima tawaran rumah kos rendah ini akan dirobohkan dan dipagar setelah mereka berpindah, tambah beliau.

Majlis penyerahan surat tawaran ini akan diadakan pada  28 September 2010 ini di  Menara MPAJ.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan