Isnin, 27 September 2010

Setinggan dapat Rumah ....

KUALA LUMPUR, 27 Sept: 51 keluarga setinggan yang tinggal di bawah talian elektrik bervoltan tinggi TNB di Pandan Jaya akan diserahkan surat tawaran untuk membeli rumah kos rendah di Taman Harmoni, Kajang esok.

Mereka adalah sebahagian dari 193 keluarga di penempatan setinggan itu yang telah wujud lebih 20 tahun.

Penawaran rumah kos rendah ini merupakan satu usaha untuk menyelesaikan masalah setinggan di Pandan Jaya, kata Exco kerajaan negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad.

Kerajaan negeri, katanya, akan menawarkan rumah kos rendah kepada penduduk secara berperingkat-peringkat untuk dibeli oleh mereka.

"Akhirnya kesemua penduduk akan ditawarkan untuk membeli rumah kos rendah dan kawasan di bawah talian itu akan dipagar supaya tidak berlaku sebarang pencerobohan," katanya yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Selangor.

Katanya, terdapat juga cadangan agar kawasan itu dijadikan kawasan tapak semaian atau setor Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Walau bagaimanapun, buat masa ini rumah-rumah 51 keluarga yang akan menerima tawaran rumah kos rendah ini akan dirobohkan dan dipagar setelah mereka berpindah, tambah beliau.

Majlis penyerahan surat tawaran ini akan diadakan pada  28 September 2010 ini di  Menara MPAJ.

Adun Galas kembali ke rahmatullah....

KUALA LUMPUR, 27 Sept: Adun Galas, Chek Hashim Sulaima, 47, kembali ke rahmatullah di Pusat Rawatan Islam Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 4.30 petang ini.
Allahyarham yang mengidap penyakit barah di bahagian paru-paru menjalani rawatan di hospital berkenaan sejak hampir seminggu lalu.
Sebelum itu beliau menjalani rawatan perubatan tradisional Cina di Serdang.
(Gambar kiri: Para pemimpin PAS di samping jenazah Chek Hashim di Pusat Perubatan Islam Kampung Baru. Gambar kanan: Chek Hashim)
Allahyarham dikesan menghidap penyakit berkenaan sejak dua tahun lalu dan pernah mendapat rawatan beberapa bulan di China.
Pada Ramadan tahun lepas, beliau menjalani rawatan di Orient Hospital Guanzhong. Sebelum itu Chek Hashim  mendapat rawatan awal di The First People's Hospital juga di Guanzhong.
Keadaan kesihatannya agak serius sebelum itu. Kepulangannya daripada menjalani rawatan di China tahun lepas disambut wakil-wakil rakyat dan penduduk Gua Musang.
Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Mac lalu beliau turut hadir. Bagaimanapun pada persidangan Jun lalu beliau mohon bercuti.
Dan pada Julai lalu, Adun Galas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu.
Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan petang 26 Julai lalu selepas tiga hari pulang dari menjalani rawatan kimoterapi di sebuah hospital di China.
Allahyarham meninggalkan dua balu, Che Bongsu Jusoh dengan tujuh orng anak dan Aida Zakaria pula lima orang anak.
(Gambar: Pulang ke kampung halaman. Jenazah Chek Hashim dibawa dengan ambulan ke Gua Musang untuk dikebumikan)
Sementara itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mewakili seluruh kepimpinan dan ahli PAS seluruh negara merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum Che Hashim dan rakyat di Dun Galas di atas pemergian Almarhum.
"Sesungguhnya Almarhum adalah seorang yang gigih menjalankan tugas dan komited dengan perjuangan. Marilah sama-sama kita berdoa agar roh beliau dirahmati oleh Allah," ujarnya dalam kenyataan ringkas.
Bagi timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa, pemergian Almarhum adalah kehilangan besar bagi rakyat Kelantan.
"Saya difahamkan, perlibatan Almarhum dengan PAS sejak zaman muda lagi, Almarhum banyak berjasa kepada rakyat. Semoga jasanya berkhidmat di Galas, untuk rakyat Kelantan dirahmati Allah. Bagi kita, sumbangannya akan seperti tinta emas dalam perjuangan kita, PAS," ujarnya yang berada di hospital.
Turut memberi penghormatan ialah naib presiden, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan.